Dengan namaMu ya Allah
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
"Mesti seronok bila ada anak nanti. Boleh main-main,
boleh manja-manja. Kan?" Satu soalan dilempar kepada saya. Saya memandang
wajahnya. Ada cahaya harapan yang terlihat. Menunggu saat si isteri mengandung
barangkali.
"Benar. Anak-anak kan cahaya mata penyejuk jiwa.
Pastinya Dia memberi semua itu kepada mereka-mereka yang bergelar ibubapa.
Anugerah berupa ketenangan jiwa apabila memandang anak-anak di hadapan mata."
Jawab saya secara umum. Sambil tangan dihulur ke arah gelas untuk meneguk air
kosong di meja.
"So, nanti boleh aku ajar anak aku solat. Bila masuk
bulan Ramadhan, aku nak latih dia puasa sama-sama. Aku nak ajar dia baca
Al-Quran. Kalau tak boleh berlagu sekalipun, asalkan cukup syarat pun tak
apalah."
Saya pandang wajahnya buat kali kedua. Tinggi sungguh harapan
bakal seorang ayah ini kepada anaknya. Mengimpikan seorang anak yang
berwatakkan soleh dan solehah. Lalu saya katakan kepadanya, "Dah boleh
mula dari sekarang untuk buat semua tu."
"Tak apa. Sabar dulu. Lagipun isteri belum hamil
lagi."
"Jadi, bila nak start?"
"Tunggu dulu. Bila dah bersalin nanti, bagi anak besar
dan boleh bercakap sikit-sikit, baru boleh buat semua tu."
Respon saya hanya senyum. Saya kenal dia. Salah seorang sahabat
karib saya dari dulu hingga sekarang. Seorang yang biasa-biasa. Namun ada
sedikit perkara yang perlu dititikberat kembali. Soal solat, kadang-kala
terlihat ada culas di situ. Kerap kali melewatkan waktu solat. Tanpa ada alasan
yang dapat diterima pakai. Membaca Al-Quran pula, jarang-jarang. Persoalan
aurat, kurang mendapat perhatian. Adakala hanya berseluar pendek meskipun
kawan-kawan melihat.
"Sebenarnya, dari sekarang lagi kita sudah boleh
mendidik anak-anak kita untuk jadi seperti apa yang kita harapkan."
Berkelip-kelip matanya mendengar respon saya. Menyangka saya
bergurau agaknya.
"Ya. Lakukan dahulu apa yang mahu diajarkan kepada
anak-anak kelak. Misalnya dalam bab solat. Kita mahukan anak itu nanti solat
berjemaah, maka kita dahulu yang seharusnya solat berjemaah. Kita mahukan anak
itu nanti tahu dan kenal akan Al-Quran, jadi kita dahulu yang seharusnya
menguasai perkara itu. Kita mahu anak itu nanti kenal Allah dan RasulNya, maka
kita dahulu seharusnya berusaha untuk ke arah itu dahulu, sebelum diterapkan
kepada anak-anak itu nanti."
Sekali lagi dia mengebil-ngebilkan mata. Seperti mata ikan
belacak saja.
"Jadi solusinya?"
"Didiklah diri kita dahulu sebelum mendidik anak!"
Lalu tersenyum dia. Semakin jelas akan jalan ke arah
membentuk sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah dan penuh dengan rahmat.
Berdoa saya di dalam hati, agar keluarganya kelak mendapat keredhaan
daripadaNya bermula dari saat akad nikah, hinggalah ke syurga Allah. Ameen.
29 Zulkaedah 1434 H
1113
-Musafir
23°35'4.49"N
58°18'14.33"E
-Keluarga Impian
Sungguh saya musykil dengan penulis blog ini.
ReplyDeleteea? apa yg musykil nya..
Delete