dengan namaMU ya ALLAH..
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
-saat ini semakin hampir !
Tiba saja hari Jumaat, maka di wajibkan bagi para muslimin yang baligh, berakal, merdeka, bebas daripada uzur syari’e, dan tinggal menetap untuk menunaikan solat Jumaat. Semuanya berduyun-duyun mengunjungi masjid berdekatan. Ada yang membawa anak-anak lelaki mereka. Ada yang bersama rakan-rakan sepejabat. Dan ada juga yang datang bersama abang atau adik masing-masing.
Lalu selepas saja daripada azan yang kedua, khatib akan berdiri di atas mimbar bagi menyampaikan khutbah. Pesanan untuk bertaqwa kepada Allah disampaikan berkali-kali kepada para makmum yang hadir. Diselitkan juga beberapa ayat Al-Quran, sama ada dijadikan hujah mahupun sebagai penerangan bagi tajuk yang disampaikan pada waktu itu. Bagi para makmumnya pula, akan mendengar isi kandungan khutbah dengan penuh khusyuk dan tawadhuk akan setiap yang disampaikan oleh khatib.
Persoalannya, mengapa Allah menetapkan bahawa sebelum solat Jumaat itu didirikan, perlu disampaikan khutbah Jumaat terlebih dahulu? Pasti ada sebab dan musababnya bukan?
Dalam beberapa hadis yang telah diriwayatkan, bahawa banyak perkara yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat. Peciptaan langit dan bumi pada hari Jumaat. Turunnya Nabi Adam dan Hawa ke atas muka bumi, pada hari Jumaat. Berlakunya kiamat nanti, juga pada hari Jumaat. Di fokuskan di sini, berlakunya hari kiamat itu adalah pada hari Jumaat. Oleh itu, Allah telah menetapkan pada hari Jumaat, di fardhukan khutbah pada hari itu. Seharusnya di dalam khutbah itu disampaikan peringatan-peringatan dan ancaman-ancaman daripada Allah. Agar para hadirin yang hadir terbuka hati mereka. Kerana kadang kala kita leka. Allah memberi masa kepada kita selama enam hari pada setiap minggu, sebelum terjadinya hari kiamat. Dalam masa enam hari itu, berapa daripada kita yang memanfaatkannya sebelum tiba hari yag ke tujuh? Berapa ramai yang menjaga enam hari itu dengan perkara yang sepatutnya? Oleh yang demikian, pada hari ke tujuh, iaitu Jumaat, Allah mewajibkan para lelaki muslim untuk ke masjid bagi mendengar khutbah. Yang mana di dalamnya terdapat nasihat-nasihat, ancaman-ancaman, dan petunjuk-petunjuk daripada Allah kepada kita. Agar kita lebih bersedia pada hari Jumaat. Tidak takutkah kita? Bukankah pada hari Jumaat itu akan berlakunya kiamat? Bukankah pada hari Jumaat itu akan berlakunya kemusnahan yang Maha Dahsyat? Tetapi kita sama sekali tidak pernah berfikir tentang ini kan? Bagi kita, hari Jumaat hanyalah hari cuti. Jumaat hanyalah hari istirehat bagi diri. Khutbah yang disampaikan, sama sekali tidak meresap ke dalam hati dan diri.
Jumaat itu menjadi hari ancaman bagi kita. Juga hari yang menakutkan bagi kita. Kerana kiamat itu berlaku pada hari jumaat. Bila masanya? Pada malam Jumaatkah? Pada siang harinya? Selepas selesai khutbah Jumaat? Atau mungkin juga berlaku sebentar saja lagi? Dia sahaja yang tahu. Jadi tugas kita hanyalah melengkapkan diri, bukannya melekakan diri.
Fardhu Ain.
-bagi yang sempat satu rakaat bersama imam, maka sah solat Jumaatnya.
-bagi yang terlewat, dan hanya sempat pada tahiyat akhir, maka hendaklah dia berniat solat Jumaat, tetapi dilakukan sebanyak empat rakaat.
Wallhua’lam.
~Malam Cerah.
No comments:
Post a Comment