welcome noted ku yg baru.. =) (java script)

أهلا و سهلا

Wednesday, April 6, 2011

[Tazkirah] Jadi Orang Tua Membina, Bukan Kanak-Kanak Ribena



dengan namaMU ya ALLAH..
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W





-mereka ini contoh orang tua membina ! -


Mahu tahu satu perkara ? Bahawa diri kamu itu sudah tua! Tak percaya? Baiklah.


Berapa umur kamu tahun ini?


30 tahun.


Ya, kamu sudah tua.


Berapa umur kamu?


25 tahun.


Kamu juga sudah tua.


Kamu pula?


20 tahun.


Kamu juga sama seperti yang dua orang di atas tadi.


Dan kamu yang terakhir, berapa umur kamu tahun ini?


18 tahun.


Ya, kamu juga tergolong dalam kategori mereka-mereka yang sudah tua, sama seperti tiga orang sebelum kamu.




Pasti ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan di atas kan? Apa 20 tahun itu sudah dianggap tua? Huh! Tak masuk akal langsung. Kalau mahu menggelar tua, biarlah kepada mereka-mereka yang sudah berumur lingkungan 60 tahun ke atas saja kan? Itu barulah betul. Ataupun kepada mereka-mereka yang sudah bongkok. Ataupun kepada mereka-mereka yang sudah punya banyak uban di atas kepala. Ataupun mereka-mereka yang kulitnya sudah mengendur. Ataupun juga kepada mereka-mereka yang kerap berjemaah di masjid, mahupun di surau, atau yang sering mengendali majlis-majlis tahlil dan sebagainya.



Maka di sinilah kesilapan besar yang sedang kita amalkan. Kesilapan besar yang sedang kita lakukan. Apatah lagi jika golongan muda yang berfikir seperti di atas. Jadi persoalannya, apa sebenarnya tahap yang kamu letakkan pada seseorang itu, lalu menganggap dirinya sudah tua? Dari sudut mana yang kamu ukur? Pada umurnya? Pada raut wajahnya? Pada tahap bongkok yang ada padanya? Sebenarnya kamu telah salah dalam menilai tahap tua seseorang itu. Semua itu tidak boleh dipakai sama sekali. Cubalah untuk mengubah tanggapan yang salah itu.



Pada hakikatnya, kita ini sebenarnya sudah tua. Biarpun umur masih lagi berbelas-belas, baru masuk ke alam 20-an, ataupun baru saja melepasi 25 tahun, sedarlah yang kamu itu sudah tua. Diulangi, kamu itu sudah tua! Tapi pada siapa? Kamu tua kepada mereka-mereka yang berada di bawah umur kamu. Kamu tua kepada adik-adik kamu. Kamu tua kepada orang-orang bawahan kamu sekiranya kamu itu seorang ketua kumpulan. Kamu tua kepada mereka-mereka yang berada di bawah umur kamu, biarpun jarak umur kamu dengan mereka hanyalah satu tahun bezanya.



Jadi, kamu sekarang telah sedar yang diri itu sudah tua. Lalu, apakah yang harus dilakukan? Apakah yang harus dilakukan oleh kita yang sudah bergelar orang tua? Menghabiskan masa yang ada dengan melepak bersama kawan-kawan tanpa mendatangkan sedikitpun faedah daripadanya kah? Atau masih dengan hidup senang lenang? Berjoli sana sini? Atau menyiapkan diri dengan amalan-amalan kebajikan yang tersedia banyaknya? Atau mengajak orang-orang muda di bawah kita untuk sama-sama dalam mengejar akhirat menanti ?



Sebagai orang tua itu, harus ada sifat mengajak untuk hidup dalam keadaan yang diredhai Allah. Seorang tua itu harus ada sifat kepimpinan dalam dirinya, agar golongan-golongan muda yang ada di sekitarnya tertarik untuk sama-sama dalam membuat amal kebajikan. Jadi jika mahu memimpin golongan-golongan muda yang ada disekeliling, ada beberapa perkara yang harus dititikberat.





Kesihatan Yang Diberi, Bukan Untuk Dijoli

Tidak semua orang dapat merasai nikmat ini. Tambah-tambah pula bagi kita yang sudah tua. Cuba lihat, berapa ramai yang sedang terlantar di hospital pada usia yang masih muda. Muka masih berseri-seri, darah muda masih panas mengalir dalam tubuh. Tapi kesihatan tidak mengizinkan sama sekali. Allah timpakan ujian dalam bentuk penyakit untuk datang menguji. Tapi kita? Walaupun sudah tua, tapi masih lagi gagah. Masih lagi kuat untuk melangkah. Bukankah ini satu nikmat daripada Allah kepada golongan-golongan tua seperti kita?




Masa Yang Ada, Sama Sekali Tidak Disia-sia

Allah mengurniakan pada kita semua 24jam sehari. Tidak lebih dan tidak kurang walau sedikitpun. Tapi, bagaimana kita menguruskannya? Ada yang menyatakan, tidak cukup baginya 24 jam. Dia mahu lebih daripada itu. Mustahil bukan? Maka di sini, pengurusan masa itu amat penting. Sebagai orang tua yang menjadi contoh kepada orang muda, masa mestilah diuruskan dengan bijak. perlu ada masa dalam menambah ilmu pengetahuan, masa beribadat, masa untuk mendekati anak-anak muda dan sebagainya. Jika begini, barulah digelar sebagai orang tua berdisiplin. Sedikit daripada 24 jam itu, langsung tidak digunakan pada tujuan yang tidak berfaedah. Semuanya diisi dengan perkara-perkara berfaedah, perkara-perkara yang mendekatkan kaki kepada Jannah. Itulah contoh orang tua harapan ummah. Bukannya orang tua yang punah.



Terus Berbakti, Selagi Nyawa Masih Berbaki

Sesungguhnya golongan tua seperti kita ini, sudah berada dipenghujung hari. Ya, kita sudah tua. Bertambah umur, bertambah jarak dengan kubur. Tapi Allah masih lagi melanjutkan usia kita. Dia masih saja lagi member kesempatan umur kepada kita, biarpun pada hakikatnya kita sudah berada di hujung-hujung hari. Jadi, peluang umur yang ada ini, gunakanlah dengan sebaik mungkin. Teruskan untuk menabur bakti. Buatlah perkara-perkara yang dapat member faedah kepada diri sendiri dan masyarakat. Dan moga-moga dengan apa yang dilakukan itu nanti, sedikit sebanyak dapat membantu menambah timbangan berat pada amal kebajikan neraca mizan di hari akhirat kelak, insyaAllah.



Kitalah orang tua itu. Zahirnya muda tapi batinnya tua. Tua yang bagaimana? Iaitu orang tua yang berguna. Orang tua yang membina. Orang tua yang cerdas akal fikirannya. Orang tua yang mantap ilmu pengetahuannya. Orang tua yang bijak mengatur masanya. Orang tua yang tidak alpa dengan dunia. Orang tua yang menjadi contoh kepada rakan-rakannya. Orang tua yang mendidik insan-insan bawahannya. Orang tua yang celik mata hatinya. Orang tua yang berbeza daripada yang biasa-biasa.


"Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian."


(Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru Bin Maimun R.A)


Jadilah orang tua membina, bukannya kanak-kanak ribena! ^_^


Wallahua'lam.

3 Jamadil Awal 1432H

~Angin Malam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...