dengan namaMU ya ALLAH..
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
-Al Quran itu adalah kunci bagi hati..~
Katakan yang kita mahu membina sebuah rumah. Maka, pasir, simen, batu bata, papan, dan yang lain-lainnya di perlukan bagi membina sebuah rumah itu. Lalu, diupah pekerja-pekerja bagi membina rumah tersebut. Dari situ, cuba perhatikan bersama, agaknya apakah perkara utama yang akan mereka lakukan terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tersebut ? Pastinya tiang-tiang yang akan didirikan terlebih dahulu sebelum yang lain-lainnya. Dan selepas didirikan tiang-tiang itu dengan kukuh lagi utuh, maka barulah yang lain-lainnya menyusul bagi melengkapkan rumah tersebut.
Apa yang ingin digariskan di sini, adalah dalam membina apa-apa sekalipun, sama ada manusia, bangunan, kenderaan dan sebagainya, maka ‘tapak’ bagi setiap unsur itu haruslah diperkukuhkan terlebih dahulu. Jika bangunan, maka tiang itu menjadi teras utamanya. Bagi sebuah kenderaan pula, rangka dalam itu menjadi tonggak asasnya. Tapi bagi manusia, bagaimana ? Di mana teras utamanya ? Ada ataupun tidak ada ? Adakah struktur tulang belakangnya ? Ataupun kekuatan ototnya ? Atau selain dari keduanya ?
Jika bangunan dan kenderaan itu mempunyai teras sebelum mendirikan struktur masing-masing sebelum menjadi hasil yang hebat, inikan pula manusia yang telah Allah jadikan sebagai sebaik-baik kejadian di atas muka bumi ini, melebihi mana-mana bangunan mahupun kenderaan-kenderaan yang hebat.
Teras Manusia
Maka sebagai manusia, semestinya kita punya teras yang mesti dibangunkan, didirikan dengan elok dan berhati-hati. Ini kerana teras ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan cara mendirikannya pula tidak sama dengan mendirikan bangunan ataupun menghasilkan kenderaan. Dan teras ini mesti dibangunkan dengan betul sekiranya tidak mahu menjadi seperti “mayat hidup”. Hanya zahirnya saja indah, tapi batinnya punah. Maka terasnya di sini, adalah hati. Ya, hati ! Hati itu umpama raja bagi diri, manakala anggota-anggota badan yang lainnya seperti pengawal. Jika baik rajanya, maka baik jugalah pengawal-pengawalnya. Tapi jika buruk akhlak raja itu, maka yang demikian jugalah akan terjadi kepada pengawal-pengawalnya.
Ingat ! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat ! Itulah hati.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Harus diingat, setiap perbuatan yang dilakukan adalah atas satu arahan. Dari mana datangnya arahan itu ? Arahan itu datangnya dari hati. Maka, hati itu perlu dibajai dengan seelok-eloknya, serapi-rapi yang mungkin dengan iman dan amal ibadah. Agar hasilnya nanti hanya yang indah-indah.
Fitrah Hati
Kadang kala kita melihat, seseorang itu kelihatan murung. Sepertinya sedang di landa segunung besar masalah terhadap dirinya. Lalu perhatikan, apa yang akan dilakukan olehnya nanti. Pada kebiasaannya, mereka-mereka yang seperti ini akan mengunjungi masjid-masjid ataupun surau-surau bagi mententeramkan hati masing-masing. Dan pada masa itu, akan kelihatan pertambahan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, kerap kali melakukan solat-solat sunat, berpuasa dan lain-lainnya. Tetapi ini tidak bermaksud mereka-mereka yang mengunjungi masjid-masjid atau surau-surau adalah hanya ketika di landa masalah saja. Mungkin segelintir saja yang melakukan hal ini. Tetapi itulah yang di katakan fitrah manusia. Manusia itu fitrahnya bersih dan suci. Tetapi apabila tersilap mengambil langkah, maka diri yang mulanya bersih dan suci itu, akan berubah menjadi kotor dan jijik. Disebabkan perubahan yang negatif ini, secara automatiknya mereka akan bersegera untuk menyucikan diri masing-masing. Kembali untuk menjadi fitrah yang asal.
Menjadi Hati Yang Bersih
Jadi di sini, hati yang bersih itu seharusnya menjadi satu perkara yang terjadi kepada kita. Hati bersih itu semestinya kita miliki, bukannya diimpi-impi. Sekiranya mahukan hal yang ini, maka perlulah diambil cara-cara dan mengamalkannya bagi mendapatkan hati yang bersih, insyaAllah. Dan di antara cara-cara itu ialah dengan selalu membaca Al-Quran, berzikir dan menambah amalan-amalan sunat. Bagi amalan membaca Al-Quran, pastikan diri kita membacanya, sekurang-kurangnya satu muka sehari. Pilihlah pada waktu mana yang dirasakan sesuai. Dan jika berpeluang untuk membaca melebihi had satu muka sehari, alangkah bertuahnya diri dan hati. Pada amalan-amalan sunat pula, jika tidak banyak yang diamalkan, maka istiqamahlah terhadap amalan yang masih diamalkan ketika ini. Jika hanya satu saja amalan sunat yang selalu diamalkan seperti memberi salam, maka istiqamahlah. Akan tetapi, alangkah lebih baik jika ditambah dengan amalan-amalan sunat yang lain, lalu diistiqamahkan juga. Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang lain. Jadi pilih dan amalkannya. Kerana pada amalan-amalan sunat itu, amatlah besar ganjarannya di sisi Allah.
Wallahu'lam.
20 Rabiul Akhir 1432H
-Hari Indah
No comments:
Post a Comment