dengan namaMu Ya Allah
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
Dalam menjalani kehidupan seharian di atas muka bumi ini, pasti akan ada pelbagai cabaran dan dugaan yang diterima. Semuanya sekali, tidak terkecuali sesiapapun. Bermula dari kecil, seorang bayi itu akan mula mengahadapi cabarannya. Bermula daripada cabaran untuk menutur kata-kata. Seterusnya cabaran untuk bergerak dari satu tempat kepada satu tempat yang lain. Sehinggalah melangkah ke alam kanak-kanak , seterusnya remaja dan kemudiannya dewasa. Dan bagi kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, yang dikurniakan akal bagi berfikir lantas mencari hikmah terselit di sebalik apa yang terjadi dalam kehidupan kita seharian.
Kehidupan Ini Ada Peraturannya
Ya. Hidup ini berperaturan. Tujuannya ? Untuk memberi kita keselesaan sekaligus memudahkan kita dalam menghadapi kehidupan seharian. Dan kita sebagai umat Islam, sudah punya peraturan yang lengkap dan Maha Teratur. Al-Quran itulah undang-undang kita. Peraturan bagi kita. Tidak percaya ? Mahukan bukti ya ? InsyaAllah, boleh saja.
Lihat pada terjemahan surah Yaasin, pada ayat ke 37 hingga 40.
Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang Maha Besar) bagi mereka adalah malam ; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan. Dan matahari berjalan pada peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.
Yasiin : 37-40
Inilah salah satu tanda daripada berjuta-juta tanda kekuasaanNya yang lain. Jadi, apa kaitannya dengan semua ini ? Apa kaitannya dengan kehidupan ini ada peraturan ?
Begini. Terfikirkah kita, mengapa bulan dan bintang-bintang di angkasa, sama sekali tidak ada pelanggaran di antara satu sama lain ? Sedangkan kedudukan ‘mereka’ di angkasa lepas begitu banyak sekali dan menampakkan seolah-olah ‘mereka’ itu berlegar-legar secara bebas saja. Malahan jumlah bintang-bintang di angkasa lepas melebihi jumlah pasir-pasir yang ada di pantai mahupun di setiap muka bumi ini. Tapi tidak terjadi pelanggaran bukan ? Ini adalah tandanya peraturan Allah itu adalah yang terbaik sekali. Perjalanan bintang-bintang di angkasa, peredaran bulan dan sebagainya itu adalah atas peraturan yang telah ditetapkanNya. Mereka-mereka itu bergerak atas jalan-jalan dan peraturan yang telah Allah tetapkan. Lihatlah kesannya. Kita dapat hidup dengan begitu selesa sekali di atas muka bumi ini tanpa perlu ada rasa khuatir jika-jika ada berlakunya pelanggaran di antara bumi dan planet-planet lain. Mereka ikut peraturan yang Allah tetapkan, hasilnya tidak ada berlaku pelanggaran sesama mereka. Jadi, kita bagaimana pula ? Ya, kita juga sama. Ikutlah peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan. Jangan ada sama sekali mengubah walausedikitpun daripadanya. Tapi ada juga segelintir daripada kita yang berani-berani mahu mengubah apa yang telah ditetapkanNya. Mahu berlagak Tuhan apa ?! Sedangkan diri sendiri yang dicipta olehNya, mahu tunjuk lagak dengan Pencipta ?! Berani menghalalkan apa yang jelas-jelas haram ?! Menolak secara terang-terangan hukum-hukum yang temaktub di dalam Al-Quran. Malah boleh lagi memperlekehkan semua itu. Mengatakan yang Al-Quran sudah tidak relevan/sesuai pada masa kini ?! Apakah kita sudah lupa, bagaimana kisahnya Sang Namrud yang bongkak itu ? Mengakui dirinya sebagai Tuhan. Mengakui dirinya boleh berbuat apa saja di atas muka bumi ini tanpa ada rasa khuatir akan kekuasaanNya. Dan akhirnya dia mati dalam keadaan yang cukup mengaibkan. Hanya dengan seekor nyamuk saja sudah mampu menggulingkan dia yang bongkak dan takabbur itu. Kita bagaimana pula ? Ya, jika ada sifat takabbur dan bongkak, berani melawan apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran, malah mampu untuk memperlekehkan isi kandungannya, bererti sama saja dengan Namrud dan angkatan-angkatannya yang lain seperti Firaun, Haman dan lain-lain. Malahan mungkin lebih teruk lagi. Harus sentiasa kita ingat, balasan daripada Allah itu pasti akan tiba. Jika tidak sekarang, mungkin saja sesaat lagi. Jika tidak hari ini, mungkin esok lusa. Tapi yang pastinya, balasan keangkuhan itu pasti akan tiba. Sentiasalah ingat. Kita hanya hamba. Hamba yang tidak punya apa-apa. Dan apa tugasnya sebagai seorang hamba melainkan hanya tunduk dan patuh atas segala arahan tuannya bukan ? Kita tidak punya apa-apa di dunia ini. Semua hanyalah pinjaman sementara, yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa saja.
Kita inginkan kehidupan bahagia seperti bintang-bintang dan planet-planet di angkasa bukan ? Sudah hidup berjuta-juta tahun, namun tidak ada sedikitpun pertelingkahan antara satu sama lain. Tidak pernah terjadi kejadian salah masuk lorong planet lain. Jadi, ikutlah segala peraturan yang telah ditetapkanNya. Sungguh diri ini amat mencemburui bintang-bintang yang sedang hidup bahagia di angkasa sana. Bagaimana caranya mereka boleh hidup bahagia ? Hanya dengan mengikut peraturanNya. Jadi, marilah sama-sama kita kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan olehNya, jika tidak mahu pengakhiran itu nanti suatu yang sia-sia dan tidak bermakna apa-apa, malahan menjadi satu penyesalan yang amat besar jika tidak diubah mulai saat ini.
Wallahua’lam
10 rabiul akhir 1432H
2341
~ Angin dingin
No comments:
Post a Comment