dengan namaMU ya ALLAH..
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
Ada panggilan masuk, lalu dijawab.
“Hello, siapa ni?”
“Oo.. Ihsan..”
Perbualan berterusan sehingga beberapa minit. Kemudian masuk pula panggilan kedua selepas tamat yang pertama tadi. Lalu dijawab..
“Hello, ya ada apa?”
“Hmm, tak kot..”
Panggilan berterusan juga sehingga ke sekian minit lamanya. Setelah itu masuk pula panggilan yang ketiga, lalu diangkat.
“Hello, siapa ni?”
Perbualan berterusan juga sehingga beberapa minit selepas itu.
Faham tak dengan apa yang ingin disampaikan di sini? Kamu yang menggangguk faham ya? Kalau faham baguslah. Kamu pula? Masih kabur-kabur? Masih mencari-cari apa maksud dialog di atas. Mari sini kita bincangkan bersama.
Dialog di atas adalah contoh perbualan seharian kita melalui telefon. Ya, itu semua kamu sudah tahu, tapi apa yang ingin disampaikan di sini ialah, lafaz utama yang perlu kita keluarkan sebagai seorang muslim sebaik saja menjawab panggilan telefon. Ucapan “Assalamualaikum” itulah yang perlu disebut terlebih dahulu, berbanding “hello”, “hai”, “oit” dan sebagainya.
Sebagai seorang muslim, kita telah pun dihidangkan dengan pelbagai adab dalam segenap aspek mahupun keadaan. Dengan adab-adab inilah akan menjadikan peribadi kita lebih teratur dan berbeza berbanding dengan yang lain-lainnya.
Berbalik kepada situasi perbualan di telefon, amalkanlah mengucap salam terlebih dahulu. Ini merupakan sunnah, sekaligus merupakan salah satu adab apabila kita bertemu seseorang, ataupun untuk memulakan perbualan. Tapi tidak ramai yang mempraktikkannya. Lebih ramai yang menggunakan “hello”, “selamat pagi”, “hai” dan sebagainya. Tidak tahukah kita bahawa ucapan “Assalamualaikum” itu adalah satu doa? Bermaksud kita mendoakan kesejahteraan untuk orang lain. Dan apabila kita mendoakan kesejahteraan orang lain, apakah itu satu perbuatan yang sia-sia? Sudah pasti tidak. Malah ada pahala/ganjaran yang menanti di situ. Tetapi ramai saja lagi mahu mengamalkan “hello”, yang padanya lansung tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada diri sendiri, apatah lagi kepada orang lain.
Hikmah Memberi Salam
Sesuatu yang disuruh dalam Islam itu, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Lalu diantara hikmahnya ialah dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama manusia sekaligus dapat menambahkan sifat saling sayang menyayangi antara satu sama yang lain. Jika diantara suami isteri, makin bertambahlah rasa cinta itu setiap masa. Jika diantara anak murid dan guru, rasa hormat itu akan berlipat kali ganda. Jika sesama sahabat, ukhuwah itu pastinya bertambah erat dan hebat. Lihat! Betapa banyaknya hikmah perbuatan mengucapkan salam ini. Cuma terpulang pada kita semua, sama ada mahu mempraktikkannya atau tidak.
Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling sayang menyayangi. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan pasti kamu sekalian akan saling sayang menyayangi? Iaitu sebarluaskanlah salam diantara kamu sekalian”.
–Riwayat Muslim
Dari Abu Yusuf ‘Abdullah bin Salam ra. berkata: “Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Wahai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah tali persahabatan, dan solatlah sewaktu manusia lain sedang tidur; nescaya kamu sekalian akan masuk syurga dengan selamat”.
– Riwayat Tirmizi
Wallahua’lam.
24 Jamadil Awal 1432H
-Pagi Indah ^_^
0822
Rujukan: Terjemahan Riadhus Shalihin Jilid 2 –Bab Keutamaan Salam dan Perintah untuk Menyebarluaskannya : Hadis 4 & 5
No comments:
Post a Comment