welcome noted ku yg baru.. =) (java script)

أهلا و سهلا

Wednesday, July 20, 2011

[Cerpen] Pedang Power Rangers VS Jam Pasar Malam


dengan namaMU ya ALLAH..
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W



Muslim memandu dengan tenang ketika mula memasuki jalan besar. Keadaan jalan raya tidak begitu sesak pada petang begitu. Sesekali matanya ditoleh ke arah cermin sisi bagi memastikan keadaan di belakang berada dalam jarak yang selamat.


Aisyah yang pada ketika itu sedang duduk di sebelah, cuba untuk memasang CD Al-Quran, bacaan Syeikh Masyaari Roshid. Perkara itu sudah menjadi kebiasaan mereka saat keluar bersama. Jika tidak dipasang bacaan Al-Quran, zikir-zikir pilihan pula menjadi manisan telinga dan hati. Kadang-kadang diselitkan juga lagu-lagu semangat cintakan Palestin, nyanyian daripada kumpulan Shoutul Harokah dari Indonesia.

"Ummi, kita nak ke mana petang ni?"
Soal satu suara kecil dari arah kerusi belakang.

Aisyah yang tadinya sibuk mencari CD Al-Quran, kini berhenti seketika bagi menjawab soalan yang baru didengarinya sebentar tadi.

"Salehuddin.. Petang ni insyaAllah Abi akan bawa kita ke pasar malam.."
Jawab Aisyah sambil menunjuk ke arah hadapan jalan raya yang kurang kenderaan lain pada waktu itu.

"Jauh lagi tak?"

"Tak jauh dah. Lagi 15 minit insyaAllah sampai.."

Muslim hanya mendengar perbualan antara isteri dan anaknya. Dia tidak mencelah. Bukannya dia tidak mahu, tapi bagi dirinya, ada masa untuk masuk ke dalam perbualan mereka. Bukannya sesuka hati untuk mencelah perbualan orang lain, meskipun perbualan itu di antara seorang ibu dan anak.

Aisyah memerhati raut wajah Salehuddin melalui cermin atas. Kelihatan Salehuddin sedang sibuk memikirkan sesuatu. Habis muncung mulutnya. Aisyah hanya membiarkan tingkah laku anaknya itu. Dirinya pasti, anak-anak di usia sebegitu sedang mengalami proses pembesaran dari masa ke masa. Dia tidak mahu kreativiti anaknya terbatas, lalu dibiarkan saja Salehuddin berfikir sendirian.

"Ummi, nanti Salehuddin nak beli pedang Power Rangers boleh?"

Aisyah tersenyum. Sudah dia katakan tadi, pasti Salehuddin sedang memikirkan sesuatu. Jadi memang benar sangkaannya. Dia tidak terus menjawab, tapi dia berfikir kembali untuk menjawab soalan anaknya dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Dia faham. Kanak-kanak di usia begitu selalunya mudah terpengaruh dengan faktor persekitaran. Televisyen sememangnya merupakan salah satu faktor yang kuat untuk mempengaruhi minda anak-anak kecil seusia begitu. Lalu menjadi tanggungjawab kepada kedua ibubapa untuk mengawal apa yang ditonton oleh anak-anak mereka.

"Salehuddin nak buat apa dengan pedang tu ?"
Soal Aisyah.

"Salehuddin nak jadi kuat macam Power Rangers tu la. Ummi tengok tak dalam tu. Semua ada pedang tau. Bila ada orang jahat datang, Power Rangers akan bawa pedang-pedang tu untuk lawan orang-orang jahat tu."
Panjang lebar Salehuddin menerangkan keadaan yang ditontonnya kepada Aisyah.

"Salehuddin nak tahu tak? Sebenarnya, ada yang lagi hebat daripada pedang tau. Bukan setakat pedang, tapi lebih hebat daripada pistol-pistol yang Power Rangers tu pakai. Lebih hebat daripada kuasa-kuasa yang ada bila raksasa tu lawan dengan Power Rangers."

"Ada yang lagi hebat ? Betul ke?"

"Betul la. Salehuddin ingat lagi tak Surah Al-Asr ? Dalam surah tu Allah bersumpah. Allah bersumpah, sesungguhnya semua manusia yang ada di atas muka bumi ni, semuanya dalam keadaan yang rugi! Dan Allah sebut lagi dalam ayat selepas tu. Hanya mereka-mereka yang beriman, beramal soleh, yang sentiasa nasihat menasihati antara satu sama lain dengan kebenaran, dan kesabaran. Orang-orang yang disebutkan ni, tidak tergolong dalam mereka-mereka yang rugi."
"Jadinya, macam mana untuk jadi macam mereka-mereka yang tak rugi tu ? Jawapannya ada pada ‘benda’ yang telah Allah nyatakan pada awal ayat surah tadi. Dengan ‘benda’ ni, manusia akan menjadi orang yang hebat. Kalau manusia pandai uruskan ‘benda’ ni, manusia tu akan jadi orang yang soleh dan tak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi. ‘Benda’ ni lebih hebat daripada pedang Power Rangers yang Salehuddin nak beli ni."

"Ummi, ‘benda’ tu ada jual kat pasar malam tak ?"

"Kenapa Salehuddin tanya ?"

Aisyah berjaya membuat anaknya berfikir.

"Salehuddin nak beli ‘benda’ tu la.. Sebab ummi kata tadi ‘benda’ ni lagi hebat daripada pedang Power Rangers tu kan.."

"Maksudnya, Salehuddin tak nak pedang Power Rangers ?"

"Salehuddin tak nak la pedang tu.. Salehuddin nak yang lebih hebat daripada pedang. Salehuddin tak nak jadi orang yang rugi !"

Aisyah tersenyum mendengarkan jawapan daripada mulut anaknya. Senyumannya bukan seorang diri, tapi juga bersama Muslim yang ada di sebelah. Muslim juga tersenyum mendegarkan jawapan daripada Salehuddin. Mereka pernah berjanji untuk menjadikan keluarga mereka sebagai keluarga yang mengikut acuan Allah dan para Rasul. Bukan setakat sebuah keluarga yang biasa, akan tetapi sebuah keluarga yang menjadikan setiap yang dilakukan itu bertetapan dengan Al-Quran dan sunnah nabinya.

Sampai saja di pasar malam, Aisyah membelikan seutas jam tangan kepada Salehuddin.

Ya! Seutas jam tangan. Nilainya lebih besar daripada pedang Power Rangers tadi. Nilai apa? Masa itulah nilainya..

8 ramadhan 1432H
8.57 pm
Malam meriah~
Baitul muslim, baitul dakwah!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...