dengan namaMU ya ALLAH..
Ertinya : Barangsiapa yang berpagi-pagi dan fokus keutamaan dalam
dirinya perihal dunia semata-mata, tiadalah Allah punyai apa-apa urusan
untuknya, dan barangsiapa yang tidak mengambil tahu berkenaan urusan
kaum Muslimin yang lain, tidaklah mereka dalam kalangan mereka (muslim)”
( Riwayat At-Tabrani, Majma’ Az-Zawaid, 10/248 ; terdapat perawi
bertaraf Matruk)
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
Lama saya perhatikan lelaki tegap itu berdiri tegak di situ. Dia
memerhati setiap gerak kerja yang dilakukan oleh anak-anak buah saya.
Jika tidak silap, mungkin sudah lebih setengah jam dia berada di situ.
Tidak berbuat apa-apa. Hanya memerhati dari jauh.
“Assalamualaikum pakcik. Pakcik nak jumpa seseorangkah?”
Soal saya sebaik tiba berdekatan dengannya.
“Waalaikumussalam. Tak lah. Pakcik tinggal dekat-dekat sini. Bila
pakcik nampak ada orang tengah pasang khemah, pakcik datang ke sini
untuk tahu apa yang berlaku. Ada program apa ya ?
“Sebenarnya, kami tengah menyiapkan khemah untuk program….”
Belum sempat saya menghabiskan kata-kata, lelaki itu terus memotong.
“Program Palestin?”
“Betul sangkaan pakcik.” Balas saya sambil tersenyum.
“Asyik-asyik Palestin. Tak habis-habis dengan Palestin.”
Ayat itu keluar daripada mulut lelaki yang berada di hadapan saya.
Saya pada mulanya dalam keadaan berdiri, lalu duduk di sebelahnya.
Terkesan dengan persoalan timbul.
“Pakcik hairanlah dengan masyarakat macam kamu ni. Tak habis-habis
nak sembang isu Palestin. Tak habis-habis nak adakan program Palestin.
Dua bulan lepas saja, dah ada empat kali program Palestin di sini.”
“Sebenarnya, apa yang cuba pakcik sampaikan?” tanya saya lembut.
“Ini semua kerja sia-sia. Lansung tidak membantu proses kemerdekaan
palestin daripada cengkaman Amerika dan Israel. Cuba kamu tengok,
Palestin hari ini semakin teruk daripada keadaan yang lepas-lepas. “
“Jadi pakcik tidak setuju dengan program-program Palestin yang dianjurkan?”
Duga saya dengan persoalan bagi mendapat tambahan persoalan logik akal yang sedang terpendam di kepalanya.
“Mengapa tidak kita hantarkan saja askar-askar kita yang sedia ada?
Lagipun jumlah keseluruhan umat Islam di seluruh dunia, terang-terang
melebihi jumlah tentera Amerika dan Israel yang ada di Palestin.”
Balasnya dengan penuh semangat juang yang tinggi.
“Maksudnya, kita berlawan dari segi kekuatan ketenteraan?”
“Tepat sekali.”
“Dan kita akan menang?”
“InsyaAllah.”
Saya tidak membantah dengan apa yang disampaikan. Saya cuba tersenyum
lantas berkata , “andaikan ada satu produk di pasar raya. Ketika itu
pakcik benar-benar mahukan produk itu kerana ianya merupakan
satu-satunya produk yang berkualiti dan dipercayai ramai. Tetapi, produk
itu sama sekali tidak ada iklannya di televisyen, radio dan sebagainya.
Pastinya sukar bagi pakcik mendapatkan produk itu bukan?”
“Soalan itu terlalu jauh menyimpang daripada apa yang kita bualkan tadi.”
“Nampak seperti jauh menyimpang, tapi amat berkait rapat.”
“Apa maksud kamu?”
“Kaitannya mudah saja. Apabila kita tidak ada maklumat akan sesuatu
perkara, pasti sukar bagi kita mengetahui akan perkara tersebut. Pasti
sukar bagi kita untuk mendalaminya.”
“Jadi?”
“Sekiranya kita tidak ada maklumat tentang Palestin, maka akan
bertambahlah kesukaran kita bagi menawan kota suci umat Islam itu.”
“Tapi kita ada televisyen, radio, dan internet. Tiga ini saja sudah cukup untuk meyebarkan maklumat tentang Palestin.”
“Betul. Tapi ini adalah tambahan medium daripada apa yang pakcik
sebutkan tadi. Dan matlamat utama program-program Palestin yang
dianjurkan, adalah untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat tempatan
tentang pentingnya Palestin kepada seluruh umat Islam di dunia ini.”
“Jadi, dengan menghantar bantuan ketenteraan yang ramai kepada mereka, itu tidak relevan?”
Sekali lagi persoalan logik akal timbul di celah-celah perbualan.
“Zahir mata yang melihat pasti mengatakan itu sudah melebihi daripada
cukup. Ya, memang kita mempunyai jumlah tenaga yang ramai jika
digabungkan kesemua bagi menumbangkan musuh. Tapi di sebalik keramaian
itu, sebenarnya lebih ramai yang memihak kepada musuh.”
“Pakcik tidak faham.”
“Gelanggang ini memerlukan dua konsep pemahaman yang jelas. Konsep
pengetahuan dan kefahaman. Tahu tidak semestinya faham. Jika faham,
pasti akan tahu. Semua umat Islam tahu, mereka itu adalah musuh umat
Islam. Tapi adakah kita faham kenapa mereka itu musuh Islam? Bagaimana
cara mereka memerangi kita? Dengan apa mereka melawan kita? Sebab apa
kita perlu memerangi mereka?”
“Maka, inilah tujuan sebenar program-program Palestin seperti ini
dianjurkan dan diadakan. Bagi membangunkan kesedaran umat Islam kepada
pengetahuan, kepentingan, dan kefaham terhadap isu Palestin. Bagi
memberikan kesedaran yang lebih mendalam, melatih anak-anak muda
khususnya untuk belajar mencintai Palestin itu sendiri. Andainya 10,000
bala tentera yang dihantar, tetapi kefaham yang ada pada mereka tidak
jelas dan masih samar-samar, kemenangan yang menjadi impian juga pasti
samar-samar.”
“Pengetahuan dan kefahaman itu perlu disatukan!”
Alhamdulillah. Dia sudah faham. Saya tinggalkan dia berseorangan di
situ. Amanah saya mungkin sudah disempurnakan, tapi percayalah.Masih ada
lebih ramai yang masih tertanya-tanya tentang persoalan yang sama
seperti diajukan lelaki itu. Jadi, siapa yang akan menyebarkan pemahaman
kepada mereka-mereka ini? Orang itu adalah diri kita!
من أصبح وهمه الدنيا فليس من الله في شيء ومن لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Jumaat
No comments:
Post a Comment