welcome noted ku yg baru.. =) (java script)

أهلا و سهلا

Sunday, February 19, 2012

[Cerpen] Sebuah Kenangan

dengan namaMU ya ALLAH..
selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W



Rumput itu kering. Begitu juga keadaannya dengan tanah di situ. Menunjukkan hujan sudah lama tidak menyirami kawasan di sekitarnya. Aku memandang langit cerah. Benar. Sedikit pun tidak menampakkan ciri-ciri hujan bakal turun. Malah suhu pada waktu itu mungkin sekitar 31 darjah celcius. Lalu ini membuatkan kata hatiku bertambah kuat dan kukuh bahawa di kawasan itu mungkin saja hampir dua minggu tidak ‘minum’.






Kemudian, aku terus berlalu. Tidak mahu berfikir panjang mengenai hal itu. Bagiku hal hujan itu tidak terlalu penting. Sebaliknya diriku ada satu urusan yang lebih penting untuk diuruskan terlebih dahulu sebelum meneruskan agenda-agenda yang lainnya.

Aku menyeluk saku kanan baju melayu dengan tangan kanan. Ku keluarkan telefon bimbit merah. Terus di buka peti masuk mesej. Lalu membaca beberapa perkataan yang ada.

Masuk kiri, kemudian terus ke belakang. Tanah masih baru. Ada bangsal kecil di situ…


Aku membaca arahan yang tertera pada skrin telefon. Arahan itu jelas. Aku  faham semuanya. Kemudian terus ku melangkah masuk ke kawasan itu. Sambil melangkah, aku meninjau keadaan sekeliling kalau-kalau ternampak apa yang dicari waktu itu. Perkara itu pasti ada sukarnya bagi ku, apatah lagi itu kali pertama aku masuk ke kawasan itu. Aku hanya mencuba nasib. Tapi, berdasarkan arahan yang diberikan pada mesej tadi, aku yakin akan menemui apa yang dicari.

Akhirnya, apa yang dicari itu kelihatan. Benar seperti yang dikhabarkan di dalam mesej itu. Sedikit pun tidak ada yang tersilap. Ada bangsal. Tanahnya juga kelihatan baru. Tapi ada beberapa penambahan. Ada daun-daun kering di atasnya. Tapi tidak banyak. Mungkin ada yang membersihkan kawasan itu.


Aku tersenyum puas. Diriku menjumpai apa yang dicari. Tapi aku tidak terus duduk. Aku membaca nama yang tertera di situ dahulu. Saat itu hanya aku keseorangan. Tidak ada yang menemani.


'Alhamdulillah.. Dah dapat..'
Diriku mengesahkan kejayaan seorang diri.


Lalu ku kutip daun-daun yang bertaburan di atas tanah yang masih merah itu. Pada fikiran ku, daun-daun itu datangnya daripada salah satu pohon rendang yang berada betul-betul disebelah. Pohon itu sememangnya rendang. Membuatkan setiap orang yang berteduh di bawahnya terasa tenang dan nyaman.


Surah Yaasin yang dibawa bersama, terus di keluarkan. Aku duduk di atas tanah yang kering. Terik matahari di penghujung pagi terus memancar, membuatkan belakang ku terasa membahang. Aku tidak peduli kehangatan yang dirasa. Diriku terus membaca ayat-ayat suci daripada buku kecil yang dibawa bersama. Sambil tangan ku mengutip daun-daun kering yang bertaburan.

Selesai membaca surah Yaasin, terus di sambung tahlil. Hanya aku seorang diri. Aku mahu memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya.

Saat tangan ku angkat untuk membacakan doa, hati ku tiba-tiba jadi sebak. Aku mencuba untuk menahan perasaan ku saat itu. Tapi gagal. Air mata ku mengalir keluar. Semakin doa itu ku baca, semakin sebak dada. Suasana jadi sayu. Di fikiran ku, terbayang memori-memori indah ketika bersama ustazah. Sempat untuk ku mengimbau beberapa kenangan manis bersama ustazah..

"Assalamualaikum.. Ustazah Amairah ada ?"
Soal ku kepada Ustazah Wardah. Mejanya berada betul-betul di sebelah kiri Ustazah Amairah.

"Waalaikumussalam.. Rasanya ada.. Tapi Ustazah Amairah nampak macam tak berapa sihat hari ni.."
Balas Ustazah Wardah, yang mengajar ku Kuliah Pendidikan Islam.

"Ok.. Kalau macam tu, saya pergi tengok dulu.."
Balas ku perlahan.

Aku menapak ke arah meja ustazah. Ustazah ada di situ. Tapi, mata ustazah kelihatan merah.

"Assalamualaikum ustazah.. Ustazah sihat tak hari ni?"
Soal ku sebaik saja melihat mata ustazah yang kelihatan kemerahan.

"Waalaikumussalam.. Ustazah ok je.. Sakit mata sikit.. Nanti elok la ni.."
Jawab Ustazah Amairah bersahaja.

"Nak tasmi’ Al-Quran?"
Soal ustazah perlahan. Meneka niat hati ku.

Aku membalas dengan anggukkan kecil. Membenarkan apa yang diteka.

Lalu ku duduk berhadapan ustazah. Ku buka kitab suci itu. Surah An-Naba menjadi pilihan untuk ditasmi’. Ku baca dengan perlahan. Agar apa yang tersilap nanti dapat ditegur dan dibetulkan oleh ustazah.
Ketika membaca, aku dapat rasakan ustazah amat tidak sihat pada hari itu. Berkali-kali ustazah mengesat matanya dengan tisu. Aku perasan tindakan ustazah waktu itu.

'Ya Allah.. Mulianya hati ustazah. Saat dirinya tidak sihat, masih mahu membuat kebaikan. Walhal bukankah waktu itu prioritinya lebih kepada berehat?'

Cepat-cepat aku menghabiskan bacaan. Aku mahu ustazah berehat untuk petang itu.

"Terima kasih ustazah. Nanti ada masa saya akan datang untuk tasmi’ lagi."
Ujarku sebelum melangkah keluar dari bilik pensyarah agama Islam.

"InsyaAllah. Ada masa ajak kawan-kawan lain juga."
Ustazah memperingatkan ku.

Aku hanya membalas dengan senyuman. Senyuman yang memberikan dua makna. Satu sebagai ucapan terima kasih ku kepada ustazah yang sudi menyemak bacaan Al Quran ku pada petang itu. Satu lagi sebagai  tanda kagum ku kepada ustazah. Apa mungkin aku juga boleh seperti itu? Dalam keadaan prioriti ku perlu ditumpukan kepada satu perkara yang lebih penting, lalu ku ubah untuk memudahkan urusan orang lain? Sungguh diriku tidak mampu untuk melaksanakan hal itu seperti apa yang telah dilakukan oleh ustazah.


Ku pandang ke arah jam di skrin telefon bimbit. Hampir sejam setengah aku berada di situ. Aku mengambil keputusan untuk beredar dari situ. Ada lagi satu tempat yang ingin ku tuju. Unit Pendidikan Islam dan Moral.

Kaki ku melangkah keluar daripada kawasan perkuburan dengan perasaan yang berat dan sayu. Hidup mesti diteruskan. Hanya ilmu, memori dan pesanan daripada ustazah yang ada bersama-sama ku. Segala pesanan dan kenangan indah yang ada, pastinya tidak akan ku lupa.


Terima kasih ustazah..

Al Fatihah buat Allahyarhamah Ustazah Amairah.. 































sebuah kenangan..
  18 Rabiul Awal 1433 H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...